Tuesday 5 July 2011

Zinnirah

Saya yakin mesti kebanyakkan anda pernah dengar lagu-lagu nasyid berkenaan dengan srikandi-srikandi syurga seperti Summayyah, Asiah dan Zinnirah. Tetapi tahukah anda siapa mereka? Mungkin ada yang tertanya-tanya siapakah Sumayyah? Siapakah Asiah? Siapakah Zinirrah?Saya pun bukanlah mahir tentang sejarah-sejarah mereka. Namun, dari sedikit pembacaan saya ingin berkongsi serba sedikit dengan anda tentang "ZINNIRAH"..

   “Sekalipun aku dibunuh, kepercayaanku masih tetap pada Allah yang Maha Esa"-Zinnirah.

   Zinnirah merupakan seorang gadis yang berasal dari Rome. Dia merupakan contoh terunggul-sanggup berkorban demi mempertahankan akidahnya sebagai seorang Islam. Kehidupan keluarganya sangat miskin dan dalam keadaan serba kekurangan. Zinnirah terpisah daripada keluarganya lalu menjadi tawanan perang.

   Zinnirah telah dijual sebagai hamba dan sering bertukar tangan. Dia dilayan dengan kasar dan adakalanya diperlakukan seperti binatang oleh tuannya. Suatu hari Zinnirah berkenalan dengan seorang hamba yang senasib dengannya. Perkenalan itu akhirnya membawa Nur Islam dalam dirinya kerana hamba itu menerangkan ajaran yang disampaikan oleh Rasulullah. Penerangan yang tulus itu membuka hati Zinnirah untuk memeluk agama Islam. Namun, Zinnirah terpaksa melakukan suruhan-suruhan Islam secara sembunyi-sembunyi kerana takut diketahui tuannya yang memusuhi Islam.


   Nasibnya menjadi lebih malang apabila akhirnya dia telah dibeli oleh seorang bangsawan Quraisy, Umar Al-Khattab untuk dijadikan hamba (sebelum Umar memeluk Islam dan tidak mengetahui keIslaman Zinnirah). Ketika itu, Umar sangat memusuhi Rasulullah dan terkenal dengan sifat bengis, tegas, berani dan kasarnya sehingga digeruni oleh lawan mahupun kawan. Beliau selalu mencerca Rasulullah dan mencabar sahabat-sahabat yang telah memeluk agama Islam. Umar sanggup menanam anak perempuannya hidup-hidup kerana malu dipandang masyarakat. Ini telah mendorong Rasulullah S.A.W berdoa agar salah seorang daripada dua Umar di Mekah memeluk Islam.

   Zinnirah bersolat, berzikir ,membaca Al-Quran dan berdoa kepada Allah secara berhati-hati. Penderitaannya bermula apabila tuannya, Umar Al-Khattab mengetahui keIslamannya. Umar telah dapat menghidu perubahan yang berlaku ke atas diri hambanya itu. Setelah diselidiki, nyatalah bahawa hambanya meninggalkan agama nenek moyang dan menerima ajaran Tauhid yang dibawa oleh Nabi Muhammad S.A.W.


   Zinnirah menjadi mangsa awal kerana kebencian Umar terhadap Islam dan kaum Muslimin. Umar menyeksa dan mendera Zinnirah dengan harapan Zinnirah akan kembali kepada agama asalnya dan meninggalkan agama Islam. Pelbagai siksaan berat dikenakan ke atasnya. Pukulan, hentakkan, sepak terajang dan dijemur di tengah panas terik. Semuanya dihadapi dengan tenang dan sabar, di samping hati dan jiwanya bergantung penuh kepada pertolongan Allah S.W.T.


"Tahukah kamu apa hukuman yang layak untukmu?", tanya Umar keras dengan wajah bak singa sambil mengheret  Zinnirah ke tengah padang pasir. Di situ, Umar mengikat kaki dan tangan Zinnirah lalu menjemurnya di tengah panas terik. "Inilah caranya supaya kamu insaf", kata Umar lalu meninggalkan Zinnirah di situ. Zinnirah tabah menghadapinya sambil mulutnya tidak berhenti membisikkan Allah..Allah..

Kemuncak penderitaan Zinnirah ialah apabila matanya dicucuk dengan besi panas. Beliau kehilangan kedua-dua matanya dan terpaksa mengharungi hidup dengan penuh kegelapan. Matanya buta, tetapi hati dan jiwanya penuh dengan cahaya keimanan.

"Ini untukMu Ya Allah. Aku mengharungi kesengsaraan ini untuk mendapat kesenangan di akhirat kelak. Perjuangan ini sememangnya berat, selalu menderita dan sengsara kerana aku sedar untuk mendapat syurga. Aku terpaksa menagih ujian berat, sedangkan neraka itu dipagari oleh pelbagai kesenangan"-rintihan Zinnirah.

   Pengorbanan Zinnirah mendapat cercaan kaum musyrikin Mekah. Pelbagai cacian dilemparkan kepadanya. Mereka mengatakan Zinnirah buta kerana dilaknat oleh tuhan mereka, Latta dan Uzza. Mereka mencabarnya kerana Zinnirah mempertahankan diri dengan mengatakan bahawa dirinya buta bukan kerana tuhan mereka, sebaliknya ia adalah perbuatan Umar da Allah mengizinkannya berlaku.

   Walaupun diuji dengan pelbagai rupa, namun keyakinannya kepada Allah tetap tidak berubah. Penderitaannya itu sampai ke pengetahuan Abu Bakar as-Siddiq dan membeli Zinnirah dengan harga yang tinggi. Antara hamba-hamba lain yang telah dimerdekakan oleh Abu Bakar ialah Bilal bin Rabah, Abu Fukayhah, Amir bin Fuhayrah, al-Nahdiyyah dan anaknya, Hamamah (ibu Bilal), serta Ummu Unays.  

   Allah memberi karamah kepada Zinnirah. Matanya yang buta akhirnya dapat melihat semula dengan karamah Allah. Dia dapat menikmati semula keindahan ciptaan Allah S.W.T Yang Maha Esa. Hati Zinnirah penuh dengan kesyukuran kepada Allah S.W.T. Imannya semakin teguh, jiwanya semakin kukuh. Dengan taufiq dan hidayah Allah, Umar akhirnya memeluk agama Islam juga. Peristiwa yang mengagumkan ini menyebabkan ramai kaum Quraisy memeluk Islam. 




No comments:

Post a Comment