Wednesday 25 May 2011

Kaabah simbol Kesatuan Umat

Pernah tak korang ditanya oleh orang bukan Islam, "kenapa Muslim menyembah Kaabah, sedangkan Allah tuhan kita?".agak-agak bila ditanya, apa jawapan yang terlintas dalam fikiran korang?..

Masjidil Haram 2007
"Nanti akan berkata orang-orang yang bodoh diantara manusia: Mengapakah mereka itu (orang-orang Islam) berpaling daripada kiblatnya yang dahulu (Baitul Maqdis)? Katakanlah: Kepunyaan Allah timur dan barat. Dia menunjuki siapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus." (Al-Baqarah:142)

 Sesetengah ulama mengemukakan dalil, bahawa ada ayat Al-Quran yang mansukh (diubah hukumnya), iaitu mula-mula Nabi dan sahabat-sahabatnya mengadap kiblat ke Baitul Maqdis. Kemudian dinasikhkan (diubah) dengan mengadap kiblat. Jawab: Hal ini memang benar. Tetapi tiada satu ayat pun di dalam mushaf Al-Quran yang menyuruh mengadap ke Baitul Maqdis. Kemudian datang ayat lain yang menasikhkannya. Mengadap ke Baitul Maqdis adalah perbuatan sunnah nabi, bukan bersumber kepada ayat Al-Quran, jadi di sini hanya menasikhkan sunnah dengan Kitab Al-Quran, bukan ayat Al-Quran dengan ayat Al-Quran. (petikan daripada Tafsir Mahmud Yunus Al-Quran Nul Karim)

  Mula-mula Nabi Muhammad S.A.W dan sahabat-sahabat Baginda, ketika solat, mengadap Baitul Maqdis. Kemudian turun wahyu, supaya mengadap ke arah Kaabah.

"Sesungguhnya Kami melihat berbolak-balik muka engkau (ya Muhammad) ke langit (meminta turun wahyu). Maka demi, sesungguhnya Kami pasti akan memalingkan engkau ke kiblat yang engkau sukai. Maka hadapkanlah mukamu ke arahnya. Sesungguhnya ahli Kitab (Yahudi, Nasrani) benar-benar mengetahui, bahawa yang demikian itu satu kebenaran dari Tuhannya. Allah tidak lalai dari apa-apa yang mereka kerjakan." (Al-Baqarah: 144)

Adapun hikmahnya (rahsianya) mengadap kiblat itu, iaitu kerana ia mula-mula tempat sembahyang (beribadat) yang disuruh Allah swt mendirikannya di tanah Arab sebagai peringatan, bahawa ia masjid lama. Dan juga sebagai pengajaran kepada orang-orang Islam, supaya mereka bersatu haluan dan tujuan. Oleh itu mereka diperintahkan oleh Allah swt mengadap ke arah yang satu ketika solat. Bukan sekali-kali maksudnya untuk menyembah Kaabah atau meminta rahmat kepadanya, kerana ia terbina daripada batu-batu yang tidak memberi mudarat dan tidak pula manfaat. Tetapi Allah swt memerintahkan kita mengadap kepadanya, maka wajib kita menurut perintah Allah. Dalam pada itu, kita mempunyai kepercayaan yang tetap bahawa Yang Maha Kuasa ialah Allah swt semata-mata.



Kaabah adalah arah kiblat bukannya tuhan. Arah kiblat yang sama menunjukkan kesatuan umat. Buktinya, dahulu arah kiblat mengadap Baitul Maqdis, bukannya Kaabah. Bukti lain, Bilal pernah memijak Kaabah ketika melaungkan azan, adakah manusia (begitu juga orang-orang bukan Islam) sanggup memijak tuhan mereka? Fikir-fikirkan..

*source : Tafsir Mahmud Yunus, ceramah Brother Lim.

Wednesday 18 May 2011

Puasa (Fasting)

 Puasa Wajib :
i) Puasa yang dilakukan dalam bulan Ramadhan
ii) Puasa qada’ Ramadhan

Lafaz niat puasa Qhada’ Ramadhan :
نويت صوم غد عن قضاء فرض رمضان لله تعالى .
                                                                                               
Ertinya :  Sahaja aku puasa esok hari kerana ganti fardhu Ramadhan kerana Allah Taala.

iii) Puasa kifarah 
iv) Puasa nazar.

Puasa Sunat :        
i)  Puasa hari  Tasu’a  dan  ‘Asyura pada 9 & 10 Muharram
ii)  Puasa dalam bulan Sya’ban
iii)  Puasa 6 hari dalam bulan Syawal              




iv)  Puasa dalam bulan–bulan haram iaitu bulan Zulkaedah,Zulhijjah,Muharram dan Rejab

v)  Puasa Arafah pada 9 zulhijjah



vi)  Puasa lapan hari daripada bulan Zulhijjah sebelum hari Arafah bagi orang yang sedang mengerjakan haji    atau tidak. 
vii)  Puasa pada hari Isnin & Khamis
viii)  Puasa tiga hari daripada tiap-tiap bulan pada 13,14 & 15

viiii)  Puasa satu hari berbuka satu hari
 
Puasa Makruh :
i)  Menentukan hari untuk berpuasa seperti jumaat sahaja,Sabtu & Ahad sahaja
ii)  Berpuasa sepanjang tahun

Puasa Haram :
i)  Puasa sunat seorang perempuan tanpa izin suaminya
ii)  Puasa pada hari syak iaitu pada hari 30 Sya’ban
iii)  Puasa pada hari raya aidil fitri,hari raya aidil adha dan hari-hari Tasyrik
iv)  Puasa perempuan haid & Nifas
v)  Puasa bagi orang yang bimbang berlakunya mudharat ke atas dirinya




Tuesday 17 May 2011

ketawanya adalah SENYUM

"Rasulullah tidak ketawa, hanya senyum sahaja.." (direkodkan Tirmidzi)

Abdullah bin al-Harith berkata, "Aku tidak melihat seorang yang lebih banyak tersenyum dari Rasulullah. Beliau tidak bercakap melainkan disusuli dengan senyum. Beliau paling banyak ceria dan seorang yang paling baik".

Kharijah bin Zaid berkata, "Nabi adalah orang yang tenang di tempat duduknya. Anggota badannya tidak banyak bergerak.Beliau cukup diam, tidak bercakap dalam perkara yang tidak perlu, berpaling dari orang yang bercakap tidak elok, ketawanya adalah senyum, percakapannya padat, tidak lebih dan tidak kurang. Ketawa para sahabatnya disisinya adalah senyum sebagai menghormati, membesarkan dan menuruti beliau."

Abu Hurairah berkata, "Apabila Rasulullah ketawa, kelihatan bergemerlapan pada dinding."   (direkodkan oleh Abdul Razzaq dalam Musannafnya)





*source : Ku Damba CintaMu Ya Rasulullah*

Thursday 5 May 2011

Allahu ma’i..Allahu naadhari..Allahu syaahidi!

Seorang ulama terkemuka, Imam Sahl bin Abdullah at-Tastari menceritakan kisah dirinya.

“Ketika berumur tiga tahun, aku ikut bapa saudaraku iaitu Muhammad bin Sanwai melakukan qiamullail. Aku melihat cara bapa saudaraku dan aku meniru gerakannya.

Suatu hari, bapa saudaraku berkata kepadaku, “
Adakah kau mengingati Allah, yang menciptakanmu?”

Aku bertanya kepadanya, 
“Bagaimanakah caranya aku mengingati-Nya?”

Beliau menjawab, 
“Anakku! Jika kau berganti pakaian dan ketika hendak tidur, katakanlah tiga kali dalam hatimu,tanpa menggerakkan lidahmu..’Allahu ma’i..Allahu naadhari..Allahu syaahidi!’ (Ertinya, Allah bersamaku, Allah melihatku, Allah menyaksikan aku!)

Aku menghafalkan kalimah itu,lalu mengucapkannya setiap malam. Kemudian, aku menceritakan hal ini kepada bapa saudaraku.

Bapa saudaraku berkata, 
“Mulai sekarang, ucapkan zikir itu sepuluh kali setiap malam.

Aku mengamalkannya,aku fahami maknanya dan aku merasakan kenikmatan dalam hatiku. Fikiran terasa tenang. Aku berasa sentiasa bersama Allah S.W.T.

Satu tahun selepas itu, bapa saudaraku berkata,
“Jagalah apa yang aku ajarkan kepadamu, dan amalkanlah sehingga mati. Zikir itu akan bermanfaat bagimu di dunia dan akhirat.”
Katanya lagi, 
“Wahai Sahl! Orang yang berasa selalu disertai Allah, dilihat Allah dan disaksikan Allah,adakah dia akan melakukan maksiat?”

Kalimat ’Allahu ma’i..Allahu naadhari..Allahu syaahidi!’ sangat terkenal dalam kalangan ulama arif billah. Bahkan, Syeikh al-Azhar,Imam Abdul Halim Mahmud, yang juga dikenali sebagai ulama yang arif billah menganjurkan kepada kaum musliminsupaya membacakan kalimah ini di dalam hati.Maknanya yang dahsyat, jika dihayati dengan bersungguh-sungguh, akan mendatangkan rasa ma’iyatullah(selalu berasa disertai, dilihat dan disaksikan oleh Allah Subhanahu wa Taala.
Akhirnya, hal ini akan menimbulkan rasa takwa yang tinggi kepada Allah S.W.T.Kalau sudah begitu, adakah orang yang berasa selalu disertai,dilihat, dan disaksikan Allah akan melakukan maksiat?



*source : ketika cinta berbuah syurga*

Tuesday 3 May 2011

Tanggungjawab Sebelum Berumahtangga 2 (usaha membina sebuah keluarga Muslim yang baik)

1. Memastikan perkahwinan adalah kerana Allah untuk melahirkan keturunan yang soleh, yang mampu menunaikan amanah serta memastikan perlaksanaan hidayah Allah secara berterusan.

Firman Allah : "(sebagai) Satu keturunan, sebahagiannya adalah (keturunan) dari sebahagian yang lain. Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui"  [Ali Imran : 34]

2 . Mestilah menjadikan tujuan perkahwinan adalah untuk menjaga pandangan, memelihara maruah serta bertaqwa kepada Allah.

Rasulullah S.A.W bersabda : "Ada tiga golongan yang Allah berhak menolong mereka. i) orang yang berjihad di jalan Allah, ii) hamba mukatib (yang berjanji untuk menebus diri) yang menunaikan bayarannya, iii) orang yang berkahwin kerana ingin memelihara dirinya" (HR : Al-Tarmidzi)

3 . Memilih bakal isteri yang baik kerana dengannyalah berkongsi hidup dan menjadi teman perjuangan.

Sabda Rasulullah S.A.W : "Pilihlah keturunanmu (wanita yang baik) kerana sesungguhnya keturanan itu menjadi pertikaian. Dalam satu riwayat lain mengatakan : "Keturunan itu menjadi desas-desus". Dalam satu riwayat lain disebut : Hendaklah engkau berkahwin dengan sekufu dan kahwinkanlah (anak-anakmu) dengan yang sekufu."

4. Memilih wanita yang baik akhlak dan pegangan agamanya sekalipun ia mungkin tidak punyai harta kekayaan dan kecantikan.

Rasulullah bersabda : "Janganlah kamu mengahwini wanita kerana kecantikannya kerana boleh jadi kecantikan itu akan membinasakannya, janganlah engkau mengahwini mereka kerana kekayaannya, kerana mungkin kekayaan itu merosakkannya, tetapi kahwinilah mereka atas dasar pegangan agamanya. Hamba perempuan yang rabik dan bodoh tetapi baik agamanya adalah lebih utama"  
(HR : Ibn Majah)

5. Hendaklah berhati-hati agar tidak menyalahi perintah Allah dalam urusan ini, kerana takut kemurkaan dan siksaan Allah dan kerana mengingati amaran Rasulullah S.A.W :
"Sesiapa yang mengahwini wanita kerana memandang kepada kemuliaan (kedudukannya) sahaja, Allah tidak akan menambah apa-apa kepadanya melainkan dengan kehinaan, sesiapa yang berkahwin kerana hartanya, Allah tidak akan menambahnya kecuali kefakiran, sesiapa yang berkahwin kerana keturunannya, Allah tidak akan menambahnya kecuali kerendahan, tetapi siapa yang mengahwini wanita kerana menjaga pandangan dan memelihara kemaluannya (dari perkara yang haram) atau kerana menghubungkan silaturrahim, Allah akan berkatinya dan isterinya."

*source: Apa Ertinya Saya Menganut ISLAM by Fathi Yakan*